SNEAK-PREVIEW
SHDM_front

SAMPAI di hotel, Erema membawa Kirana menuju ke arah kafe.

“Kira tunggu sini kejap, akak nak naik atas, ada hal sikit,” ujar Erema sebelum menghilang ke pejabat pengurusan di tingkat paling atas, iaitu tingkat 13.

Kirana akur lalu mengambil tempat di salah satu meja. Matanya melilau ke sekeliling restoran. Tiada kelibat Edryzal di mana-mana. Lelaki itu tidak turun makan tengah hari ke?

Beberapa minit menanti, Erema akhirnya muncul.

Kirana terbangun dari duduknya sebaik sahaja terpandangkan Edryzal di belakang Erema. Tidak perlu bertanya, dia yakin itu Edryzal. Melihat daripada reaksi muka dan riak wajah lelaki itu, dia yakin itu Edryzal. Apatah lagi dengan renungan lelaki itu yang menusuk kalbu. Mata Edryzal memang unik. Itu yang dia dapat rumuskan.

Sejenak terpandangkan Edryzal dengan baju kemeja lengan panjang yang sudah dilipat hingga ke siku bersama tali leher itu, Kirana terpegun.

“Kira, akak ada janji dengan tunang akak. Nak makan kat luar. Kira makan dengan Edrylah ya?” ujar Erema dengan senyuman penuh makna.

Kirana tersedar. Terus dia mengerutkan dahi. Bukankah tadi Erema yang beria-ia mengajaknya ke sini untuk makan bersama? Kenapa tiba-tiba ada temu janji dengan tunangnya pula?

Erema berpaling ke arah Edryzal yang hanya diam.

“Edry makan dengan Kira ya? Akak nak keluar dengan Abang Johan. Lepas lunch nanti akak masuk kerja balik. Bye!” Erema menepuk bahu adiknya. Sebelah matanya dikenyit sebelum terus berlalu.

Kirana menggigit bibir bawahnya. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Gugup pula rasanya bila berdepan dengan Edryzal pada waktu itu. Entah kenapa, dia merasakan lelaki yang sedang tercegat di depannya itu terlalu kacak. Dengan raut wajahnya yang tenang tanpa segaris senyuman, makin membuatkan jantung Kirana berdebar-debar.

Stop it, Kira! Jangan over sangat! Sempat hatinya mengingatkan.

“Duduklah,” ujar Edryzal sambil melabuhkan duduk di depan Kirana.

Kirana akur.

Edryzal menggamit seorang pelayan untuk mengambil pesanan mereka. “Nak makan apa?” tanya Edryzal sambil merenung wajah Kirana.

Anak mata Edryzal yang bagaikan berkaca itu membuat Kirana tidak keruan untuk seketika.

Errr… boleh tak awak tolong pilihkan untuk saya?” Entah dari mana datangnya kekuatan untuk dia memberi jawapan sebegitu.

Edryzal berpaling pada pelayan yang berdiri di sisi meja. Sementara Kirana hanya mendengar Edryzal membuat pesanan. Kenapa dia tidak pernah berasa segugup itu bila berhadapan dengan lelaki lain? Kenapa bila ada Edryzal, dia jadi bisu begitu?

Edryzal menyandar tenang di kerusi setelah pelayan tadi berlalu.

Kirana tercari-cari idea untuk memulakan perbualan dengan Edryzal. Sungguh dia tidak betah dengan suasana bisu begitu.

Hmmm… kenapa hari tu masa saya datang sini saya tak nampak pun awak?” soalnya penuh hati-hati.

“Bila kau datang sini?” tanya Edryzal sambil mengangkat kepala memandang Kirana.

Kirana tercengang seketika.

Errr… hari tu saya ada datang buat penggambaran kat sini,” jawabnya. Cuba berlagak tenang walaupun hatinya sedikit terusik mendengar bahasa yang Edryzal gunakan. ‘Kau’? Macam kasar, kan?

Serta-merta ingatan Edryzal melayang pada cerita Yusrizal tempoh hari.

“Oh… aku ada kat atas, tak turun pun masa tu,” jawabnya terus terang.

Kirana menggigit bibir bawahnya. Tidak tahu apa yang harus dibualkan. Jujurnya, dia tidak pernah berdepan dengan lelaki sependiam Edryzal. Entah dari manalah datangnya mamat ni. Awek cun ada kat depan mata pun buat tak nampak aje, bebel hati Kirana sebal. Matanya melilau ke sekitar kafe. Di hujung kafe, kelihatan beberapa orang pekerja wanita tertoleh-tertoleh ke arah mereka. Ada yang memerhati penuh minat, ada yang memandang bersama cebikan. Adakah mereka peminat Edryzal?

Seorang pelayan datang menghantar pesanan makanan. “Encik Edry nak pesan apa-apa lagi?” tanya pelayan itu sambil memandang wajah Edryzal. Senyuman manis bermain di bibirnya. Melihat caranya itu, Kirana tahu gadis itu merupakan salah seorang peminat Edryzal.

Edryzal sekadar menggeleng. Pelayan itu segera berlalu setelah mengukirkan senyuman buat Kirana.

Kirana mencapai sudu. Sesuap… dua suap… tiga suap… namun lelaki itu tetap tidak mengeluarkan suara. Dia lebih banyak termenung daripada makan. Hanya tangan memegang sudu, sedangkan fikiran melayang entah ke mana.

Kirana menarik nafas. Bersedia untuk memulakan perbualan sekali lagi.

“Mak saya bagi saya nombor telefon awak,” ujarnya sambil merenung wajah Edryzal, menanti balasan.

Edryzal hanya diam dengan wajah tunduk.

Kirana mengetap bibir.

“Mak saya nak kita kawan. Dan… saya tengok mama awak pun sama,” ujarnya lagi. Tetap cuba menarik minat Edryzal untuk berinteraksi dengannya. Selama dia hidup, itulah kali pertama seorang lelaki buat tidak endah dengannya. Manalah hati tak bengkak?

“Jadi?” Edryzal mengangkat kepala merenung Kirana.

Kirana terdiam dipanah renungan menikam Edryzal. Mata itu… entah bagaimana dia mahu menggambarkan sepasang mata milik lelaki itu. Mata yang bagaikan menangis, tetapi hakikatnya lelaki itu tidak menangis.

“Saya cuma nak tau sama ada awak setuju atau tak? Cara awak ni, langsung tak menggambarkan yang awak setuju nak kawan dengan saya,” tekannya, geram dengan reaksi selamba Edryzal.

“Kawan macam mana yang kau maksudkan ni?” Edryzal merenung dalam-dalam anak mata Kirana.

Kirana mengalih anak matanya ke arah lain. Tidak selesa direnung begitu.

“Kawan....” Dia sendiri sebenarnya tidak pasti dengan maksud ‘kawan’ itu. Kawan dalam erti kata sebenar, ataupun ada maksud yang tersirat?

“Mak saya cakap dia suka awak.” Kirana mengubah ayatnya tadi.

“Habis, mak kau nak kahwin dengan aku?” tanya Edryzal lagi. Sengaja menempah bala dengan pertanyaan bodohnya itu.

Mata Kirana membulat. Nampaknya, Edryzal sengaja mahu mencari pasal dengannya. “Bukanlah macam tu. Awak taukan kenapa mak saya dengan mama awak nak kita berkawan?”

“Sebab dia orang nak aku kahwin dengan kau,” jawab Edryzal dengan muka tidak bersalah.

“Hah! Tahu pun.” Kirana merengus. Masam wajahnya ketika itu. Kalau peminat-peminatnya tengok, mesti lari.

“Dah tu kau nak suruh aku buat apa?” tanya Edryzal masih dengan riak tenang.

Kirana bengang. “Awak ni memang tak faham, atau saja buat-buat tak faham?”

Edryzal menyandar di kerusi. Tiada jawapan yang keluar dari mulutnya.

“Kalau awak tak setuju dengan rancangan orang tua kita, lebih baik awak tarik diri sekarang. Awak ingat saya ‘hadap’ sangat ke dengan lelaki macam awak ni? Sekali saya petik jari, sepuluh yang datang tau?” Dengan angkuhnya Kirana bersuara. Dia bukanlah memaksudkannya. Cuma sikap Edryzal yang menyakitkan hati itu memaksanya untuk berkata begitu.

Edryzal merenung Kirana.

“Kan aku dah cakap, aku cuma ikut apa yang mama aku nak,” tekannya.

“Jadi? Awak setujulah kalau mama awak nak awak kahwin dengan saya?” tanya Kirana. Wajahnya serius.

Edryzal tidak menjawab. Anak matanya meliar ke arah lain.

Kirana mengetap gigi. Sungguh sakit hati dengan reaksi Edryzal itu. “Kalau nak, cakap nak. Kalau tak nak, cakap tak nak!”

Dia mengeraskan suara. Biarlah sekiranya ada yang mendengar. Yang penting sekarang rasa tidak puas hatinya dapat disuarakan.

“Kalau aku cakap nak?” Edryzal bagaikan bermain tarik tali.

Kirana cuba menahan sabar. “Tapi cara awak tak menggambarkan yang awak nak!”

“Habis kau nak suruh aku buat apa? Belai kau, tatang kau… macam tu?” Tajam mata Edryzal merenung Kirana.

Kirana terdiam. Mulutnya terkunci tiba-tiba. Errr… aku yang salah cakap ke?

“Memang mama aku nak aku kahwin dengan kau. Dan bila aku cakap aku setuju, maknanya aku setuju. Apa lagi yang kau nak aku buat?”

“Jadi, awak nak kahwin dengan saya semata-mata sebab mama awak yang suruh?” tanya Kirana benar-benar mahu jawapan yang pasti.

Edryzal diam. Cukuplah dia menyatakannya sekali.

“Awak ingat hal kahwin ni semudah tu ke? Kahwin, lepas tu settle? Habis, macam mana dengan kehidupan kita lepas kahwin nanti? Awak tak terfikir ke semua tu?” Bertalu-talu soalan yang diajukan oleh Kirana. Jawapan yang diberikan Edryzal sangat longgar dan langsung tidak masuk akal.

Edryzal tetap diam.

Kirana merengus geram. “Jangan ingat saya ni barang yang awak boleh buat main!”

Beg tangan dicapai lantas terus bangun. Sekeping not RM50 dikeluarkan lalu diletakkan di atas meja.

“Terima kasih banyak-banyak!” Kemudian dia berpaling dan terus berlalu dengan hati yang bengkak. Sempat dia menangkap jelingan beberapa orang pekerja kafe. Argh, lantak kaulah!

GERAM! Geram!” Kirana menjerit-jerit sekuat hati.

Wani dan Ja saling berpandangan.

“Kau ni kenapa, Kira? Geram kat siapa?” Wani bertindak mengajukan pertanyaan.

Kirana berpaling dengan wajah yang bengis.

“Seumur hidup aku, ini kali pertama seorang lelaki langsung tak ambik kisah pasal aku. Kali pertama seorang lelaki tolak aku! Kali pertama seorang lelaki buat aku macam barang mainan!” tempiknya lagi. Sakit betul hatinya bila mengingatkan pertemuan dengan Edryzal siang tadi. Dasar lelaki tak guna! cemuh hatinya bengang.

“Kau cakap pasal siapa ni?” Ja bingung.

“Edry gila tu la!” jerit Kirana. Puas hatinya dapat memberi gelaran ‘gila’ pada lelaki itu. Terbayang-bayang di matanya wajah selamba lelaki itu tadi. Ikutkan hatinya sekarang, mahu sahaja dihadiahkan penumbuk sulung di muka lelaki itu. Biar cacat mukanya yang kacak itu. Huh! Menyesal puji dia kacak tadi!

Wani dan Ja saling berpandangan.

“Bakal suami kau tu ke?”

“Bakal suami?” Mata Kirana terjegil.

Wani dan Ja tertelan liur. Gerun melihat Kirana berang begitu.

“Lelaki macam tu tak layak jadi suami aku! Aku boleh dapat sepuluh lelaki lagi hebat daripada dialah!” hambur Kirana lagi. Apa yang keluar dari mulutnya hanyalah berdasarkan hati yang ‘panas’ tanpa diiringi kewarasan akal fikiran. Orang tengah marah, apa pun boleh keluar.

“Tapi, mak kau nak dia.” Suara Wani meleret.

“Itu, sebab mak aku tak tau lagi perangai sebenar dia!” marah Kirana. Dia bercekak pinggang. “Tak apa, kau nak sangat main-main dengan aku, kan? Kau belum kenal lagi siapa Illsya Kirana!”

Errr… Kira, kau nak buat apa?” Wani kecut tiba-tiba. Takut juga kalau-kalau Kirana bertindak di luar batasan.

Kirana berpaling pada Wani dan Ja.

“Kalau sebelum ni, aku boleh buat ramai lelaki jatuh hati pada aku, tak mustahil Si Edry gila tu pun boleh cair dengan aku!”

Wani dan Ja tercengang-cengang. Apa maksud Kirana?

“Edry tu… memang tak kena langsung dengan taste aku. Tapi tak apa, disebabkan mak aku suka sangat dengan dia… aku akan ubah dia jadi macam mana yang aku nak!” Tekad Kirana penuh keazaman. Dia yakin, Edryzal tetap akan jatuh cinta padanya suatu hari nanti. Tengok ajelah!

Wani dan Ja berpandangan lagi. Masing-masing bagaikan takut. Jangan Si Kira ni bomohkan Edry tu sudahlah.

Status hati: Benci!

 

 

TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
JUMLAH MUKA SURAT: 616
PENULIS: AYUMI SYAFIQAH
ISBN: 978-967-0448- 29-9
SEMENANJUNG: RM21.00
SABAH/SARAWAK: RM24.00


GET_front

 

FAREEZ bergegas meninggalkan pejabat menuju ke hospital. Peti masuk mesej tidak dibuka. Mesej penuh dibiarkan tidak berbaca. Hanya kerisauan yang menghuni lubuk hati Fareez. BMW X5 menderum laju meninggalkan Modenreka. Peluh mula memercik walaupun disimbah kedinginan pendingin hawa kereta.

Punat CD yang rancak mendendangkan lagu Nazareth ditekan. Hatinya yang sedang gundah tak lalu mendengar irama lagu rock yang menambah sesak di dada. Siaran radio dibuka. Telefon yang berdering nyaring mengejutkan Fareez yang tekun memusatkan pandangan pada pemanduan. “Assalamualaikum, mommy.”

Fareez terangguk-angguk mendengar butir bicara Datin Julia yang dipanggilnya mommy sedari dulu lagi. “Waalaikumussalam.”

Panggilan telefon diakhiri dengan salam dan seribu kelegaan. Segala gundah yang bersarang di hati terbang dalam sekelip mata. Fareez menghembuskan nafas dalam. Cermin tingkap BMW X5 diturunkan. Kotak rokok yang diselitkan di celah handphone holder ditarik. Sebatang rokok ditarik keluar daripada kotak dan dinyalakan. Rokok disedut dalam dan dihembus perlahan. Lega!

Everything seems to be alright. She said she was sent to Ampang Puteri by her friend. She will send Gina home. Don’t worry.”

Fareez menyesal menengking Gina pagi tadi. Perangai Gina kebelakangan ini yang asyik memungkiri janji membuatkan Fareez berang. Mujurlah Gina hanya terlanggar tembok pembahagi jalan. Cuma luka kecil di kepala akibat kepala terhantuk ke stereng. Gina cuma dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kerana darah gemuruhnya. Pantang panic, terus tekanan darahnya turun dengan mendadak. Kalau berlanggar dengan kereta atau lori mungkin Gina tak akan bernasib baik seperti ini.

Sedutan terakhir dinikmatinya dengan tenang. Serasa tenang mendengar lagu yang tidak diketahui tajuknya dari radio sambil menghisap rokok. Kereta hanya bergerak pada kelajuan 80km/jam. Puntung rokok yang masih menyala dicampak keluar tingkap. Telefon yang diletakkan di dashboard diambil. Tangannya laju mencari kotak inbox. Mesej daripada Datin Julia yang diterima di pejabat tadi dibuka.

Gina accident. Minor injury only.

Fareez malu sendiri. Kalau dibacanya mesej penuh Datin Julia, sudah pasti dia tidak akan gelabah seperti ini. Tiba-tiba Fareez teringat akan janji temunya dengan bos Integrate Landscape. Nombor Iskandar didail.

CIK FELLAH DELISYA, saya minta maaf sangat-sangat. Bos saya yang nak jumpa cik tadi, tapi dia ada hal kecemasan. Tak ada jodoh agaknya. Lain kali saya aturkan pertemuan cik dengan bos saya.” Iskandar malu sendiri. Penat diyakinkan Jasmeen agar menanti ketibaan Fareez. Rupa-rupanya Fareez sudah lesap dari pejabat.

Arfah pula bukannya nak beritahu!

“Tak ada masalah, Encik Iskandar. Tak jumpa pun tak apa. Janji kerja saya selesai dan memuaskan hati Encik Iskandar dan bos encik.” Sopan Jasmeen menjawab. Cuba mengambil hati Iskandar walaupun dalam hatinya berbakul juga sumpah seranah dihadiahkan kepada bos Iskandar.

Setengah jam lebih Jasmeen membuang masa di Modenreka semata-mata menunggu ketibaan bos Iskandar. Perbincangannya dengan Iskandar sebenarnya telah lama tamat dan masing-masing telah mencapai kata sepakat.

“Kalau cik ada ‘kabel besar’ kat Majlis, boleh la tolong saya mohon authority approval untuk projek ini.”

Jasmeen tersengih mendengar luahan Iskandar tentang kerenah birokrasi tiap kali penghantaran pelan kepada pihak Majlis. Lumrah kehidupan apatah lagi dalam dunia perniagaan yang amat kompetitif. Istilah ‘it is not who you are but it is who you know’ telah lama menjadi duri dalam daging dunia perniagaan.


Jasmeen bersetuju untuk membantu Iskandar mendapatkan kelulusan pelan. Ini bukanlah kali pertama Jasmeen menggunakan pengaruh Tan Sri Farhan dalam memudahkan kerjanya. Marah-marah papa pun, pejam mata papa juga yang banyak membantu. Kalau istilah ‘kabel besar’ digunakan sebagai ganti diri orang berpengaruh, rasanya saiz ‘kabel’ Jasmeen adalah berukuran 500 milimeter bersamaan dengan saiz kabel yang biasa digunakan oleh TNB dalam kerja-kerja bawah tanah. ‘Kabel besar’ tu!


Kenangan lalu menerjah ruang ingatan....

 

Please Fareez, come with us. Kalau Fareez tak pergi, Gina pun tak nak pergi la.”

Fareez memandang kedua-dua jelitawan di hadapannya. Datin Julia yang sentiasa anggun walaupun sudah berusia dan Gina yang terserlah kejelitaannya yang berkacukan Arab. Dilahirkan sebagai anak tunggal menjadikan Gina gadis manja. Semua kemahuannya mesti dituruti.

“Fareez baru rancang nak balik rumah Atuk Syed cuti kali ni, mommy.”

Mommy tengok Fareez ni, tak habis-habis nak balik sana.”

Gina mula beriak sedih. Apalah makna percutiannya kali ini tanpa Fareez. Penat mommy dan daddy mengajak Gina menghabiskan cuti sekolah tahun ini ke Gold Coast tapi Gina tetap mahu ke Genting Highlands. Kalau ke Gold Coast sudah pasti ditolak mentah-mentah oleh Fareez. Bukannya Gina tidak tahu perangai Fareez yang pemalu dan amat berdikari. Menyusahkan orang tidak termasuk dalam senarai hidupnya.

Mommy keluar sekejap. Fareez makan tengah hari kat sini ya hari ini. Fikir betul-betul. Mommy balik nanti nak dengar keputusan Fareez.” Datin Julia meninggalkan Fareez dan Gina yang masing-masing ralit menonton rancangan kartun kegemaran Fareez. Doraemon!

Aiseh, malu dah besar panjang tengok Doraemon tapi memang itulah kartun kegemaran Fareez. Puas dikorek oleh Gina kenapa dalam banyak-banyak kartun, Doraemon yang menjadi pilihan tetapi jawapannya ialah rahsia! Isy... tengoklah Superman ke Batman ke, baru ghai!

“Gina, here. Take this.”

Cotton candy kegemaran Gina bertukar tangan.

Gina tersenyum girang. Sebentar tadi Fareez meninggalkan Gina keseorangan menonton televisyen, tak disangka Fareez keluar berjalan ke kedai runcit yang terletak lebih kurang seratus meter dari rumahnya semata-mata untuk membeli hatinya. “Thank you. I love you.”

Fareez hanya tersengih. Gina memang sentiasa menghargai pemberiannya. Malah, apa sahaja layanan istimewanya terhadap Gina akan berbalas mesra. Thank you, I love you tak pernah lekang daripada bibir mungil Gina.

Argh! Itu kisah dua belas tahun yang lampau. Fareez mendengus.

Dulu cotton candy sahaja cukup untuk meraih cinta Gina tetapi sekarang? Fareez buntu. Terkilan mendapat berita daripada mommy bukannya daripada empunya badan sendiri. Nombor Gina didail. Lama Fareez menunggu talian bersambut namun, hampa.

Fareez membuat pusingan U. Tidak jadi balik ke pejabat apabila Iskandar memberitahu bos Integrate Landscape sudah meninggalkan pejabat. Pedal minyak ditekan laju. Haluan ditukar menuju ke Ampang Puteri, membelah Jalan Ampang. Harap-harap Gina masih di hospital.

Sampai sahaja di hospital, melilau mata Fareez mencari petak meletak kenderaan yang kosong. Bukannya ada valet parking di hospital. Naik ambulans bolehlah merasa parkir betul-betul di hadapan pintu masuk hospital.

Mata tajam Fareez menangkap bayang Gina dari kejauhan. Gina sedang membuka pintu keretanya di bahagian pemandu. Fareez menghala kereta BMW X5nya ke arah tempat meletak kereta Gina. Dari kejauhan kelihatan dahi Gina bertampal plaster kecil. Alhamdulillah, luka kecil sahaja. Fareez kelegaan.

Sretttt!!! Fareez menekan brek BMW X5 dengan mendadak. Tak percaya melihat aksi di hadapannya kini. Matanya dikelip berkali-kali. Fareez akhirnya menekan pedal minyak dan BMW X5 menderum laju meninggalkan pekarangan Ampang Puteri.

 

 

TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
JUMLAH MUKA SURAT: 744
PENULIS: RIN AHMAD
ISBN: 978-967-0448- 28-2
SEMENANJUNG: RM26.00
SABAH/SARAWAK: RM29.00
GMC_front

PUTERI benar-benar lega melihat pemandu Datuk Kamarul sedang bercakap dengan pegawai polis di kaunter. Sejak sepuluh hari, inilah hari yang paling menggembirakannya. Dia sudah tidak sabar untuk keluar dari lokap dan pergi dari tempat yang menakutkan ini.

Tidak lama kemudian datang pegawai membebaskannya.

“Datuk tunggu dalam kereta,” ujar pemandu Datuk Kamarul.

Puteri hanya mengikut pemandu Datuk Kamarul. Malunya bukan kepalang melihat Datuk Kamarul hanya memandang sepintas lalu padanya sebelum menyambung kembali bacaan akhbar.

“Datuk... terima kasih sebab jamin saya,” bicara Puteri selepas beberapa saat duduk di dalam kereta.

Semalam dia meminta Mimi menghubungi Datuk Kamarul kerana Pinky masih belum pulang walaupun sudah sepuluh hari. Dia tidak ada pilihan lain kecuali meminta pertolongan daripada Datuk Kamarul. Biarlah dia diejek atau maruahnya tercalar, dia tidak peduli. Cukup terseksa rasanya berada di dalam lokap meskipun hanya sepuluh hari. Tidak dapat dia membayangkan betapa seksanya mereka yang dipenjarakan seumur hidup.

“Tak apa… kalau Put bagitau awal-awal, kan senang?”

Puteri diam. Dia malu dan dia tidak mahu menyusahkan Datuk Kamarul sebenarnya, tambahan pula dia pernah menghina Datuk Kamarul secara tidak langsung dulu. Perlahan-lahan dia mengerling ke arah Datuk Kamarul. Hartawan korporat ini masih tidak mahu memandangnya. Ketika ini dia tidak sedap hati. Jauh di sudut hati dia tertanya-tanya apa yang difikirkan oleh Datuk Kamarul? Apa yang dia pasti, lelaki yang berkelas tinggi ini pasti memandang rendah atau sinis padanya.

Tiba-tiba Datuk Kamarul melipat akhbar.

Puteri cepat-cepat memandang ke arah lain.

“Put dah makan?” soal Datuk Kamarul.

Puteri geleng dalam senyum hambar. Wajah pucat tanpa secalit mekap itu cukup menyentuh hati sesiapa yang memandangnya.

Datuk Kamarul terus mengarahkan pemandunya ke Hotel Bluewave.

Errr… saya segan la nak pergi hotel macam ni Datuk.”

That’s okay. Buat macam biasa aje. Put nampak cantik kalau senyum.”

Puteri senyum nipis. Hatinya sedikit terubat mendengar semua itu. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu ke mana dia perlu pergi selepas ini. Umi pastilah tidak akan membenarkan dia masuk ke rumah selepas kejadian ini.

Sampai di Bluewave, Puteri mengikut Datuk Kamarul ke restoran. Matanya silau kerana sudah sepuluh hari dia tidak melihat cahaya dengan betul.

Selepas meminta pesanan, Puteri meminta diri ke tandas. Mukanya dibersihkan dengan sabun pencuci tangan. Bibirnya digigit-gigit biar nampak merah. Kemudian dia mula mendandan rambut. Menjalin di kanan dan kiri sebelum mencantumkan ke belakang. Nampak sedikit segar. Selepas itu dia kembali ke meja. Hidangan yang dipesan oleh Datuk Kamarul tadi sudah pun terhidang di atas meja.

“Makan, Put....”

Puteri terdiam melihat ikan siakap goreng pedas, daging masak lada hitam, udang goreng mentega, sup sayur, ayam goreng gajus dan dua pinggan nasi. Nampak menyelerakan kerana sudah banyak hari dia tidak berselera.

Baru beberapa sudu nasi masuk ke mulutnya, seorang pelayan datang menghantar semangkuk asam pedas kepala ikan pula. Puteri tidak membuang masa. Kali ini dia tidak malu lagi untuk menikmati rezeki yang Tuhan kurniakan. Di dalam lokap sudah banyak yang dia pelajari. Antaranya, hargai apa yang kita ada sebelum hilang!

“Nak tambah nasi?” soal Datuk Kamarul melihat nasi di pinggan Puteri hampir habis.

“Tak nak. Malu.”

Datuk Kamarul tertawa kecil sejurus memanggil pelayan. Tidak lama kemudian nasi tambah sampai. Kali ini Datuk Kamarul sendiri yang menambahkan nasi ke pinggan Puteri.

“Nanti kalau ada masa, kita pergi memancing. Makan ikan bakar.”

Puteri diam sejenak sebelum tersenyum panjang. Kemudian dia leka menikmati asam pedas. Hidungnya sudah merah menahan pedas. Tisu yang dihulurkan oleh Datuk Kamarul tidak disedarinya malah dibiarkan sahaja lelaki itu mengelap bibir dan hidungnya.

Kemudian mereka dihidangkan pula dengan pelbagai jenis buah-buahan.

Datuk Kamarul pula meminta kopi.

Puteri pula sudah bersandar kekenyangan di kerusi. Tersenyum melihat Datuk Kamarul merenungnya dalam senyum yang penuh makna. Ternyata dia silap membuat penilaian mengenai Datuk Kamarul. Lelaki ini sebenarnya baik dan ikhlas.

Errr… saya nak minta tolong dengan Datuk,” bicara Puteri agak malu-malu. Tetapi, apabila mengenangkan apa yang telah terjadi dia terpaksa menebalkan mukanya.

Datuk Kamarul pula hanya tenang memandangnya.

Errr... saya rasa... saya amat perlukan duit yang Datuk offer dulu... saya janji akan bayar balik!”

Nah! Puteri sudah berterus terang. Dia tidak mahu memikirkan apa-apa pun ketika ini kecuali mencari cara untuk meneruskan kehidupan.

“Maaflah... I dah berikan pada orang lain, Puteri…” balas Datuk Kamarul selepas diam sejenak.

Puteri tunduk. Bukan setakat terkejut tetapi malu. Ternyata Datuk Kamarul belum memaafkannya lagi. Hendak angkat muka memandangnya pun Puteri rasa segan. Mukanya sudah berat.

Errr… tak apalah. Dah bukan rezeki Put nak buat macam mana, kan?”

Datuk Kamarul mengukir senyuman. Senyuman yang sukar untuk diterjemahkan maksudnya.

Errr… boleh tak Put nak buat… pinjaman? Errr… Put akan bayar selepas Put tamat belajar.”

Datuk Kamarul mengamati ke segenap inci wajah Puteri sehingga Puteri terpaksa melarikan anak matanya ke arah lain.

Errr… saya ada cadangan yang lebih baik. Apa kata… kita buat syarat. Saya jamin akan bayar.”

Datuk Kamarul tersenyum. Sukar sekali untuk menterjemah makna di sebalik senyuman yang dibuat-buat itu.

Puteri mula berasa tidak sedap hati.

Come on la Put. You ingat semua benda dalam dunia ni free? Semua orang suka buat janji dan semua orang suka melupakan janji. Apa yang I dapat kalau I tolong you?”

Datuk Kamarul! Puteri cuba bersabar. Inilah yang dia takutkan. Apa yang Mimi dan Pinky katakan selama ini memang ada benarnya. Kebaikan Datuk Kamarul bersebab.

“I mean… apa jaminan yang I akan dapat kalau I tolong you?”

Puteri terdiam. Nampaknya hari ini sudah tiba giliran Datuk Kamarul pula mempermainkan maruahnya. Adakah dia sedang membalas dendam? Puteri sudah hilang kata-kata.

“Baiklah Puteri... I will give what you want. But....”

Datuk Kamarul sengaja tidak menghabiskan kata-katanya membuatkan Puteri tidak senang duduk.

Puteri angkat muka. Dia semakin bercelaru. Lebih-lebih lagi apabila melihat Datuk Kamarul bermain-main dengan pen di atas meja. Puteri semakin resah dan takut. Walaupun suhu penyaman udara sangat rendah namun, badannya semakin kepanasan. Teh Cina di atas meja diteguknya sekali.

Listen my little princess... look at me. I adalah kapten kapal besar. Setakat ikan kecil, I tak makan. Sebab umpan I pun besar jugak. Tapi kalau you nak merasa betapa megahnya berdiri di atas kapal besar ni, kenalah buat pertukaran. Give and take.”

“Saya tak faham Datuk.”

One night stand for ten thousands.”

Mencerlung Puteri memandang ke wajah Datuk Kamarul. Dia sudah faham permainan yang ingin dimainkan oleh lelaki ini.

“Tapi saya bukannya pelacur.”

“Sebab you jual mahallah I bayar mahal.” Sinis sekali nada Datuk Kamarul.

Puteri semakin tersepit.

Datuk Kamarul tersenyum kepuasan. Dia masih ingat betapa dia dimalukan oleh Puteri tempoh hari. Kalau dia berkehendakkan perempuan, bukan setakat cantik malah bergetah lebih daripada Puteri pun dia boleh dapat dengan mudah. Bukannya dia tidak ada rupa atau harta. Perempuan seperti Puteri sangat biasa dan tidak ada apa-apa yang istimewa dengannya.

Puteri terdiam, agak lama. Mendengar nafas sendiri pun dia tidak mahu pada ketika ini. Dia sudah mati kutu.

“Saya benar-benar dalam kesempitan sekarang ni. Tapi saya tak mampu buat apa yang Datuk nak tu. Ni semua dosa, Datuk.” Berat Puteri menuturkan kata.

Datuk Kamarul diam. Kopi diteguk sehingga habis. “Fine… kalau you tak setuju, I’ll give you a second choice.

Puteri angkat muka. Dalam hati dia benar-benar berharap lelaki itu akan memberi khabar yang gembira. Dan semua yang dikatakan oleh Datuk Kamarul tadi adalah gurauan semata-mata untuk menduganya.

“I nak tengok you tanpa sehelai baju pun.”

Puteri menelan liur yang tidak lepas. Telinganya dapat menangkap dengan jelas walaupun Datuk Kamarul berbisik.

Saat ini mereka saling bertentangan mata.

Puteri tidak tahu apa yang bermain di fikiran Datuk Kamarul. Apa yang dia faham lelaki ini tidak berakhlak. Harus disumpah menjadi lipas! Menjijikkan!

Perlahan-lahan Puteri bangun ingin beredar, tetapi langkahnya terhenti apabila Datuk Kamarul memanggilnya.

“You balik dan fikir dulu okey?”

Datuk Kamarul memasukkan wang kertas seratus ringgit ke dalam poket beg sandang Puteri.

Puteri kaku sehingga kelibat Datuk Kamarul menghilang. Kemudian dia mula melangkah keluar dari lobi Hotel Bluewave ini. Pelik. Apa lagi permainan Datuk Kamarul? Mengapa dalam sekelip mata lelaki ini boleh berubah? Sudah lupuskah orang yang baik-baik di dunia ini?

Ah! Bukannya salah orang lain, tetapi salah diri sendiri. Kalaulah dia tidak menjual mahal kepada Datuk Kamarul dulu, pastinya keadaan tidak akan begini.

Puteri terus menaiki teksi untuk pulang ke rumah. Ketika dia sampai, tiada kelibat sesiapa pun. Dia terus mandi dan tidur di dalam bilik. Kasut juga dibawa masuk ke bilik, tidak mahu sesiapa pun menyedari dia berada di rumah.

Mimi jangan cakap sesiapa pun aku ada kat rumah.

Selepas meletakkan sekeping nota di atas meja, dia terus tidur. Sudah lama dia tidak tidur dengan selesa. Tidur di lokap, mimpi indah pun jadi ngeri.

 

TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
JUMLAH MUKA SURAT: 808
PENULIS: NASS ALINA NOAH
ISBN: 978-967-0448- 30-5
SEMENANJUNG: RM28.00
SABAH/SARAWAK: RM31.00

 

 

The best thing about tonight’s that we’re not fighting

Could it be that we have been this way before

I know you don’t think that I am trying

I know you’re wearing thin down to the core

But hold your breathe

Because tonight will be the night that I will fall for you

Over again

Don’t make me change my mind

Or I won’t live to see another day

I swear it’s true

Because a girl like you is impossible to find

You’re impossible to find

B

ERKALI-KALI lagu Fall For You, nyanyian Secondhand Serenade meniti di bibir. Lagu itu agak popular sekarang. Adiknya, Nurliyna Mirza juga sering menyanyikan lagu itu membuatkan dia turut sama terikut-ikut.

“Senang hati nampak,” tegur seseorang.

Ammar Mirza berpaling. Dua gadis kecil tersenyum memandangnya. Si hero pula tersengih panjang.

“Belajar apa tadi?” soalnya pada Fifi Mirza, anak saudaranya yang bakal mengambil USPR tahun ini.

Maths.”

“Fia?” Wajah Fia Mirza yang seiras dengan kakaknya pula ditatap. Fia Mirza pula muda dua tahun.

“Sains!” Laju Fia Mirza menjawab.

“Fir?”

Maths macam Kak Fifi.” Nampak teruja Firhan Mirza menjawab. Firhan Mirza pula baru sahaja melangkah ke alam persekolahan. Wajah Firhan Mirza betul-betul seiras arwah abang Ammar Mirza, Radzi Mirza.

Ammar Mirza ketawa. Sudah menjadi kebiasaan, jika ayah atau uminya tidak dapat mengambil mereka bertiga, dia akan mengambil alih tugas menjemput mereka dari sekolah atau pusat tuisyen.

“Fifi pegang tangan Fia,” suruhnya sebelum dia menggenggam tangan Fia dan Firhan. Sekejap sahaja mereka sudah berada di seberang jalan menuju ke kereta BMW 3 Series berwarna hitam milik arwah abangnya.

“Siapa tu?” Firhan segera menyoal dengan wajah berkerut.

Ammar Mirza angkat bahu.

“Mak ngah, kan tu?” Fifi meneka.

Ammar Mirza terkedu. Mak ngah?

“Buat apa kat sini?” soalnya terus apabila mereka berempat sudah menghampiri kereta.

“Awak?” Kelu lidah Suri Imani.

“Saya?” Ammar Mirza merenung Suri Imani minta penjelasan. Terkejut juga melihat Suri Imani berada di sini, dan paling penting selamba sahaja bersandar pada keretanya.

Suri Imani memandang lama Ammar Mirza. Apa dia buat kat sini? Kemudian matanya beralih pada anak-anak saudara Ammar Mirza.

“Salam mak ngah,” suruh Ammar Mirza tersengih nakal.

“Huh?” Terkejut dengan panggilan namanya.

“Mak ngah….” Firhan terlebih dahulu menerpa pada Suri Imani membuatkan gadis itu yang sejak tadi keliru dengan pertemuan itu, terkejut. Telefon bimbit yang sejak tadi di dalam genggamannya tercampak terus ke dalam longkang.

“Firhan Mirza!” tempelak Ammar Mirza.

“Fir minta maaf….” Firhan tunduk memandang jalan. Dia betul-betul tidak sengaja.

“Kak!” jerit seseorang dari belakang.

Mereka semua sama-sama berpaling.

Ilham tersengih panjang sebelum dahinya berkerut melihat Ammar Mirza.

“Ilham, tolong ambil telefon akak.”

Telefon bimbitnya yang selamat terbenam di dalam longkang, ditunjuk segera. Nasib baiklah longkang itu tidak kotor.

“Hah?” Ilham terkejut.

Firhan sudah mula menangis.

“Senyap, Fir! Biar saya ambil.” Tanpa sempat dihalang, Ammar Mirza sudah melompat turun di dalam longkah. Berkerut-kerut wajah Ammar Mirza apabila terpaksa memasukkan tangan di dalam air longkang.

“Fia. Ambil tisu,” suruh Ammar Mirza yang cuba untuk naik semula sambil dibantu oleh Ilham yang masih samar-samar dengan apa yang berlaku.

“Nah.” Telefon bimbit dilap dan dibalut sebelum diserahkan semula kepada Suri Imani. Ammar Mirza tahu telefon itu sudah tidak bernyawa.

Fifi menghulur botol airnya kepada Suri Imani untuk membasuh telefon yang kotor itu.

“Terima kasih awak.”

Ammar Mirza tersenyum kelat. Bahu Firhan dipegang lembut dan diarah memandangnya. Terhenjut-henjut bahu itu menahan tangis.

“Sudahlah tu... pak ngah tak marah. Tapi Firhan tau salah Firhan, kan?” soal Ammar Mirza perlahan. Air mata yang masih keluar itu dikesan lembut.

Lambat-lambat Firhan mengangguk.

“Jadi?” Terangkat kening Ammar Mirza.

“Fir minta maaf….” Si kecil itu memusingkan tubuhnya lalu mendongak.

Suri Imani tersenyum. Pipi Firhan disapu lembut. “Tak apa Fir. Kak… mak ngah tak marah.”

Merah padam wajah Suri Imani sebelum menggigit bibir. Dia tahu Ammar Mirza sudah tersengih mendengar bahasa panggilannya.

“Ilham?”

Ilham yang sejak tadi menjadi pemerhati, segera mengangguk sebelum melangkah menghampiri Ammar Mirza untuk bersalam. “Abang buat apa kat sini?”

“Ambil anak-anak ni. Ilham pun belajar di tuisyen ni?”

Pantas Ilham mengangguk.

“Ilham PMR tahun ni,” ujar Suri Imani pula.

Ammar Mirza mengangguk sebelum dia mengarahkan Fifi, Fia dan Firhan untuk bersalam dengan Suri Imani dan Ilham. Fifi nampak malu-malu apabila bersalaman dengan Ilham. Ammar Mirza tersenyum. Dah besar anak saudaranya itu.

“Balik dengan apa?” Ammar Mirza menyoal.

“Bas.”

“Kereta?” Ilham pula yang terkejut.

“Masuk workshop. Papa guna Viva. Papa ada hal, suruh kita naik bas atau teksi,” balas Suri Imani. Tangan adiknya sudah dipegang.

“Jom balik,” ajaknya.

Ilham hanya mengangguk.

“Ilham masuk kereta. Abang hantar balik,” suruh Ammar Mirza tiba-tiba.

“Tak apa.” Pantas Suri Imani menolak.

“Umur Ilham berapa?” Tiba-tiba Ammar Mirza menyoal.

“Lima belas tahun.” Terpinga-pinga Ilham menjawab. Bukan ke tadi dia sudah beritahu yang dia mengambil PMR tahun ini.

“Kakak dengan adik sama tinggi.” Selamba Ammar Mirza bersuara.

“Awak!” Geram kerana tahu Ammar Mirza cuba memberitahu yang dia pendek!

Ammar Mirza tersengih pula.

“Ilham masuk kereta,” suruhnya lagi.

“Kami boleh balik sendiri,” balas Suri Imani yang sudah merah muka menahan marah.

Nope dear. Saya tunang awak. So, saya tak akan biarkan awak dan adik ipar saya balik naik bas atau teksi sedangkan kereta saya ni muat aje,” ucap Ammar Mirza.

“Kita balik dengan Abang Am,” pinta Ilham yang sudah melangkah mendekati kereta Ammar Mirza selepas ditarik oleh Firhan atas arahan Ammar Mirza.

Ammar Mirza ketawa.

“Cepat, atau saya dukung,” ujar Ammar Mirza berbau arahan.

“Berani?” Bulat mata Suri Imani.

Anything is possible in this world honey....” Mata dikenyit bagi mengundang kemarahan gadis itu. Dia suka melihat gadis itu marah dengan muka yang sudah merah.

Suri Imani mengeluh.

“Iman?”

“Yalah!”

Good girl.” Ammar Mirza tersenyum.

AMMAR MIRZA menggaru kepalanya beberapa kali. Bilik kecil tetapi nampak luas kerana tidak banyak menggunakan perabot. Sebuah tilam tebal single dibiarkan berdiri dan bersandar di dinding bilik berwarna biru. Sebuah meja belajar terletak di sudut bilik dan bersebelahan dengan almari pakaian dan rak buku. Beberapa poster Simple Plan dan My Chemical Romance tertampal di dinding bilik. Nampaknya Ilham peminat kumpulan itu. Di atas meja belajar penuh dengan buku-buku latihan.

“Awak,” tegur Suri Imani.

Tak sangka juga dia rupa-rupanya papa sudah berada di rumah. Ammar Mirza terus diajak untuk makan malam bersama di rumah.

“Mana kiblat?” soal Ammar Mirza yang juga nampak serba salah di hadapan Suri Imani ketika ini.

“Sini.” Sejadah dibentang.

Thanks.” Ammar Mirza garu kepala pula.

“Nah.” Kain pelekat berwarna hijau muda milik Shamsul Azhari diserahkan kepada Ammar Mirza.

“Buat apa ni?”

Berkerut dahi Suri Imani.

“Sarung kat kepala.” Selamba dia menjawab.

“Hah?”

“Encik Ammar. Kain pelekat itu untuk awak pakai masa sembahyang.”

“Seluar saya bersih lagi.”

“Awak pakai seluar tu sepanjang hari. Pakai ajelah. Papa suruh.” Malas Suri Imani hendak bertekak.

“Budak-budak mana?”

“Ikut Ilham pergi kedai. Awak, saya nak tanya sikit.” Wajah Ammar Mirza dipandang.

“Apa?”

Suri Imani pandang pintu yang terbuka luas. Dia duduk di kerusi meja belajar Ilham. Wajah Ammar Mirza dipandang lama.

“Apa?” Cuak lelaki itu dengan telatah Suri Imani yang berubah serius.

“Kita dah tunang berapa lama?”

“Huh?” Terpinga-pinga pula Ammar Mirza.

“Sebulan, kan?” Suri Imani pula yang menjawab.

Ammar Mirza mengangguk sahaja.

“Kenapa ayah awak nak cepatkan tarikh perkahwinan kita?”

“Tak tau.” Ammar Mirza geleng kepala. Satu senyuman halus terukir di bibir.

“Awak tak rasa kita ni macam tak sesuai?” soal Suri Imani. Langsung tidak perasan perubahan wajah Ammar Mirza ketika ini.

“Kenapa?”

“Kita tak pernah keluar bersama. Saya tak kenal awak.” Lurus jawapan Suri Imani yang membuatkan Ammar Mirza tersenyum lebar.

“Kenapa senyum?”

“Satu sedekah.” Selamba jawapan Ammar Mirza.

Suri Imani mendengus.

“Awak tak suka?”

“Bukan....”

“Jadi?”

“Saya tak bersedia....” Perlahan jawapan diberi.

“Sebulan lagi masa yang ada Iman,” balas Ammar Mirza.

“Kalau perkahwinan ni tak berjaya?”

Emmm... saya nak sembahyang sekarang. Boleh awak keluar? Saya nak tukar seluar.” Suruh Ammar Mirza yang tiba-tiba bertukar serius.

Terpinga-pinga pula Suri Imani.

bgmoduletableh3

SHDM2GET2GMC2

nmk3

manuskrip

rght_bn_pengu


R-FCBOOK

twitkn

knblggr